KUCHING, 28 September 2022 - Sesi Program Town Hall Yang Amat Berhormat Premier Sarawak bersama Penjawat Awam Negeri Sarawak (PANS) menyokong kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak terus berkembang maju dan bermanfaat kepada semua rakyat.


Menurut Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Ts. Dr Zaidi Razaj, perkongsian, penggunaan dan penyebaran data digital dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak diyakini dapat memacu platform data raya negeri.


"Sesi sebelah pagi terbahagi kepada dua iaitu pekeliling terbaru bagi penjawat awam iaitu perkongsian data, penggunaan data dan memastikan data yang berkualiti sertadapat dikongsi bersama dengan agensi syarikat, berkongsi dengan agensi kerajaan persekutuan dan sebagainya. 


"Untuk perkongsian data yang mana saya telah memberi sedikit ceramah perkenalan untuk setiap agensi memahami peranan mereka, kepentingan data, standard data dan bagaimana data ini dapat diolah untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat seperti yang kita rancang dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 oleh Premier Sarawak pada tahun lepas," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada sesi "town hall" bersama PANS yang diadakan di Hotel Pullman, Kuching pada Rabu.


Sementara itu, Pensyarah dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Associate Professor Dr. Shanti Faridah Salleh turut berkongsi ceramah berkenaan kepentingan "Sustainability Transition and Climate Change" bagi memastikan pembangunan sosioekonomi dilaksanakan secara mampan bermula pada peringkat perancangan, pelaksanaan dan seterusnya pada peringkat penilaian.


"Sesi perkongsian saya bersama agensi kerajaan negeri adalah berkenaan dengan Peralihan Kemampanan dan Perubahan Iklim.


"Saya benar-benar ingin menyampaikan mesej kepada semua agensi negeri bahawa kemampanan adalah perniagaan semua orang dan juga penting untuk menyelahkan bahawa kita sebenarnya mempunyai dokumen rujukan yang sangat baik, pelan tindakan yang sangat baik.


"Tetapi cabaran bagaimana untuk bergerak ke hadapan dan bagaimana untuk melaksanakannya dengan betul penting juga serta saya berharap agar sesi yang saya kongsikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada semua orang untuk memahami dengan lebih baik peralihan kemampanan, perubahan iklim dan aspek lain yang berkaitan dengan sejajar dengan hasrat kita untuk mencapai PCDS 2030," kata beliau.


Ujarnya, Sarawak terus komited dalam usaha memangkin pertumbuhan ekonomi bagi memastikan sasaran menjadi negeri maju seperti yang dirangka dalam PCDS 2030 dapat dicapai.


Usaha ini tambahnya bagi memastikan setiap rakyat Sarawak dapat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, persekitaran mampan yang dipacu oleh data dan inovasi menjelang 2030.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Dif-Dif Kenamaan serta Ketua-Ketua Jabatan.


Source: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)