Ts. Dr. Zaidi Razak menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Khalidi Ibrahim selepas kunjungan hormat ke Pejabat SMA di Kuching. 

KUCHING, 08 Februari 2023 - Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan memastikan dua sekolah di bawah Majlis Islam Sarawak di Bahagian Samarahan dapat mengakses internet. 


Pengurus Besar SMA, Ts. Dr. Zaidi Razak berkata, dua sekolah tersebut sebelum ini didapati mengalami masalah rangkaian jalur lebar yang harus diselesaikan dengan segera. 


Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada syarikat yang akan menyediakan perkhidmatan bagi membantu untuk menyediakan rangkaian internet kepada dua buah sekolah berkenaan. 


"Penyediaan perkhidmatan jalur lebar ke seluruh Sarawak amat dititikberatkan melalui Pelan Strategi Pembangunan Sarawak pasca COVID-19," katanya menerusi kenyataan hari ini. 


Oleh itu, Zaidi menegaskan bahawa SMA akan terus komited bagi memastikan rangkaian internet bagi dua buah sekolah itu dapat diselesaikan dengan segera. 


Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pihak Majlis Agama Islam Sarawak yang diketuai oleh Pengarah JAIS, Khalidi Ibrahim.


Turut hadir Pemangku Ketua Bahagian Telekomunikasi dan Kejuruteraan SMA, Ts. Haszrizan Hanapi. 


Sumber: TVS