Menerajui Keperluan Kesalinghubungan Digital Sarawak semasa Pandemik


WiFi SALURAN, MySRBN, Sarawaknet dan JENDELA sebagai penyelesaian sementara



Penduduk Ng. Singat, Sibu bersama VSAT WIFI SALURAN mereka. Rumah panjang ini berjarak 1 jam 40 minit menggunakan kereta dan bot dari Sibu.


KUCHING, 26 Jun, 2021 - Sarawak Multimedia Authority (SMA) sedia maklum berkenaan isu capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman yang kini bertambah signifikan susulan penularan pandemik COVID-19 dan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

 

Jesteru, sebagai penyelesaian sementara, kerajaan Sarawak melalui SMA, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Sarawak State Modernisation Unit (SSMU) telah mengambil pelbagai langkah responsif untuk menangani masalah capaian internet di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

 

Dengan menggunakan “Very Small Aperture Terminal” (VSAT), inisiatif WiFi SALURAN yang telah siap dipasang di 200 buah kampung di seluruh Sarawak dilihat mampu memberi kemudahan internet kepada komuniti luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

 

Selain itu, MySRBN yang diterajui SDEC juga merupakan salah satu inisiatif oleh kerajaan Sarawak untuk memperluaskan liputan jalur lebar sehingga 5km keluasan dengan menggunakan teknologi Fixed Wireless Access (FWA) dan menara-menara telekomunikasi yang telah siap dibina dan yang akan dibina dibawah inisiatif kerajaan Sarawak akan dilengkapi dengan teknologi ini. Sebanyak 150 kawasan luar bandar dan pedalaman telah dikenalpasti dengan sebanyak 45,000 buah rumah dan tempat awam dijangka akan menerima perkhidmatan ini. Sehingga 22 Jun, sebanyak 6,167 isi rumah yang sudah berdaftar dengan MySRBN dan 2,780 “Customer Premise Equipments” (CPE) telah dipasang. Untuk mendapat maklumat lebih lanjut mengenai pendaftaran perkhidmatan ini, boleh layari https://sarawak.digital/mysrbn/

 

SSMU melalui SAINS juga telah memperluaskan perkhidmatan jalur lebar satelit melalui program Sarawaknet. 60 tapak di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh Sarawak telah dilengkapi dengan kemudahan VSAT. Kemudahan ini adalah tambahan kepada 200 WiFi SALURAN.

 

Ketua Kampung Tg. Belipat, Norela Omar, bersama “Customer Premise Equipment” (CPE) MySRBN di rumahnya.


Pada masa yang sama, SMA juga mengambil maklum berkenaan isu menara-menara telekomunikasi yang telah siap dibina tetapi masih belum beroperasi.

 

Status bagi fasa ke-dua iaitu penyediaan peralatan telekomunikasi untuk menara-menara tersebut beroperasi adalah masih dalam proses perolehan kerajaan dan sebagai sebuah agensi badan berkanun kerajaan, SMA juga tertakluk kepada beberapa proses kewangan yang wajib dipatuhi. Tambahan pula, dalam usaha untuk memberikan penyelesaian terbaik, kerajaan Sarawak juga perlu mengambil kira spesifikasi peralatan yang disediakan supaya ianya boleh digunakan untuk jangka masa panjang dan perancangan pelan telekomunikasi yang strategik mengikut acuan negeri Sarawak yang sangat luas juga mengambil masa yang panjang dan ini menyebabkan adanya jurang dalam pelaksanaan fasa ke-dua projek SMA First 300.

 

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyusun semula rancangan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menyediakan kaedah penyelesaian sementara di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Oleh itu, 62% (520) dari jumlah keseluruhan 839 perkhidmatan VSAT telah diperuntukkan ke Sarawak dan ia dijangka akan beroperasi pada Oktober 2021.

 

Memandangkan kurangnya skala ekonomi untuk pelaburan industri telekomunikasi komersial di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak, visi YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg untuk mengambil alih perancangan telekomunikasi Sarawak pada tahun 2018 adalah dilihat sebagai satu rahmat. Pelan infrastruktur digital adalah satu perkara penting bagi pelan strategik Ekonomi Digital Sarawak. Selain itu, pandemik ini telah memberi cabaran yang tidak diduga pada fasa awal kewujudan SMA (sejak 2018), lalu menuntut SMA untuk memfokuskan masa dan tenaga mereka bagi mencari penyelesaian terbaik.

 

"Melihat ukuran demografi/geografi negeri Sarawak yang sangat luas, kita memerlukan masa untuk memberi penyelesaian kepada masalah infrastruktur digital yang terbaik dan juga menyediakan perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi ke seluruh Sarawak", jelas Dr Zaidi Bin Razak, Pengurus Besar SMA.

 

“Sehubungan itu, SMA amat menghargai segala usaha daripada semua pihak yang terlibat dalam memastikan rakyat Sarawak mendapat akses internet”, katanya.