Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg 

KUCHING, 12 Julai 2022 - Sejak permulaan agenda ekonomi digital pada 2018, Sarawak telah berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi negeri melalui transformasi dalam beberapa sektor, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya ia termasuk pertanian, industri kelapa sawit, e-dagang, kewangan dan teknologi kewangan, kerajaan digital, bandar pintar, pelancongan, pembuatan dan industri perkhidmatan.

“Untuk melaksanakan agenda ekonomi digital ini, pada tahun 2018 kerajaan saya telah menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di bawah Ordinan Lembaga Multimedia Sarawak 2017, sebuah badan kawal selia untuk menerajui, menyelia dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan komunikasi, multimedia dan Inisiatif Ekonomi Digital Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Kejuruteraan Asean Australia 2022 (AAEC 2022) di Kampung Digital, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata dalam tempoh lima tahun lalu, Sarawak telah mencapai beberapa pencapaian di bawah ekosistem ekonomi digital, antaranya inisiatif Menghubungkan Bandar dan Luar Bandar Sarawak (SALURAN).

Katanya inisiatif Kerajaan Sarawak itu untuk menyediakan liputan telekomunikasi di kawasan terpencil dan luar bandar Sarawak.

“Pembinaan 600 menara komunikasi adalah sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) Lembaga Multimedia Sarawak, yang dijangka siap dengan perkhidmatan mobiliti dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) pada 2023,” katanya.

Selain itu, beliau berkata MySRBN ialah 4G milik negeri dengan rangkaian teras sedia 5G yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar tetap.

“Sehingga kini, 158 tapak di seluruh Sarawak telah dilaksanakan untuk menghubungkan masyarakat luar bandar.

“Dalam fasa akan datang, MySRBN akan diperluaskan merentasi semua menara SMART untuk menampung 100,000 lagi rumah luar bandar pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata inisiatif Pusat Kecemerlangan Ekonomi Digital di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) bertujuan menghubungkan universiti dengan industri teknologi, menetapkan hala tuju penyelidikan dan pembangunan (R&D), memastikan inovasi berterusan dalam teknologi digital dan pengkomersialan penyelidikan.

Manakala, katanya tahun lepas, Kampung Digital TEGAS telah dilancarkan yang terdiri daripada pelbagai ruang kerja bersama untuk usahawan dan untuk menyediakan sokongan seperti akses pasaran, perlindungan harta intelek, akses kepada pelabur dan peningkatan kemahiran bakat.

“Kira-kira 500 program telah dijalankan untuk melatih Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan individu di seluruh Sarawak.

“Pada masa ini, Sarawak telah menubuhkan sembilan Hab Inovasi Digital, dengan empat lagi akan datang menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sementara, Abang Johari berkata pada awal bulan lepas, Kerajaan Sarawak melancarkan Perkongsian Makmal Prototaip IR4.0 antara SDEC dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan rakan kongsi ekosistemnya di Kampung Digital TEGAS.

Katanya makmal itu akan memberi perkhidmatan kepada industri di Sarawak dengan menyediakan teknologi, pakar dan program pembangunan kapasiti tempatan untuk memupuk ekosistem Industri 4.0 yang komprehensif.

Source: Sarawak Voice