SMA Organized Intellectual Property (IP) Empowerment Program

4294
24 Apr 2024
UKAS
LIMBANG: Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Harta Intelek di seluruh negeri ini sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE2030) serta Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030).

Pengurus Besar SMA, Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng berkata, objektif utama program yang diadakan selama dua hari itu adalah untuk memberikan pendedahan serta latihan kepada para pegawai dalam kalangan jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak tentang kepentingan harta intelek (IP).

“Ini kerana, IP adalah salah satu pemangkin utama dalam memacu aktiviti inovasi dan kreativiti di Sarawak selaras dengan inisiatif transformasi ekonomi digital Sarawak seperti yang termaktub di dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE2030) dan juga PCDS 2030.

“Seramai 30 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Sarawak di Bahagian Limbang telah terlibat dalam Program Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di jabatan dan agensi masing-masing,” katanya di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.

Dato Dr. Anderson Tiong menambah, program pemerkasaan IP juga menjadi tunjang kepada warga kerja KIK agar hak cipta projek-projek jabatan atau agensi dapat dipelihara.

“Melalui sokongan dan kerjasama bersepadu daripada agensi kerajaan Sarawak, usaha untuk menjadikan Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi akan dapat direalisasikan,” tambahnya.

Taklimat mengenai peranan harta intelek dan inovasi dalam memacu transformasi ekonomi digital kepada para perserta telah disampaikan oleh Ketua Unit Penguatkuasaan, Inspektorat dan Perlesenan SMA, Steward Sayong. -EDISI UKAS